Sunday, June 15, 2014

Gigihnya seorang bapa


Dari pagi lagi, aku nampak abah pegang buku tulis. Buku tulis sekolah rendah tu. Tulis sesuatu. Sambil-sambil tu scroll group whatsapp dia. Salin.

Biasalah kalau dah nama group whatsapp ni mesti ada share "7 Perkara yang menguatkan iman...." "Apa jadi kalau haiwan ada facebook" "Sebarkan anak ini hilang sudah 3 hari...." benda-benda common yang orang selalu recycle.

Semenjak dua menjak ni abah baru berjinak dengan hal ehwal maya ni. Jadi apa yang kita rasa common, recycle berapa juta kali dah baca. Tapi bagi abah tu pertama kali dia baca.

Sementara aku siap-siap untuk keluar beli barang, abah masih dengan pen dan buku. Elok semua dah siap sedia untuk keluar, abah simpan buku tulis. Balik dari beli barang abah tanya nampak tak buku dia. Mahu sambung kegigihannya menulis. Tapi lupa. Lupa dia tinggalkan di dapur. Nampak tak sorok sampai ke dapur buku tu.

Sambil teman adik tengok Doraemon aku toleh curi. Pandang abah duduk bersila. Tulis penuh gigih. Ntah apa yang disalin. Aku alih tempat ke depan komputer. Sedang-sedang aku tengah dengar lagu ni, abah datang. Tunjuk aku apa yang disalinnya.

"Nah, tolong hantar ni dekat abang dengan kakak"




Aku baca tulisan abah. Oh benda ni....

Cuma "oh" je ke reaksi aku? Tak. Terkejut tapi taknak tunjuk. Aku pernah baca benda ni. Ntah di mana-mana. Di facebook sendiri muncul berapa kali kisah ni. Tapi...

Tapi sebab abah sendiri yang bagi dekat aku. Masa tu jugak rasa nak nangis! Tapi tahan sebab aku dengar abah punya sebak. Masa abah kata "nah, tolong hantar dekat abang dengan kakak" suara pun tersekat. Lepas tu abah masuk tandas. Macam aku tak tau abah nak hilangkan sebak. Tapi aku akur, terus menaip hantar pada abang dan kakak-kakak.

Sambil aku menaip, masa tu pulak play lagu Anak Soleh. Alahai, tapi aku biarkan. Dah lah pakai earphone. Gila tak feel. Sebak yang ada makin berdouble-double. Memanglah, memang benda ni aku pernah baca. Tapi bila abah sendiri bagi dekat aku. Hasil gigihnya dia menyalin. Sedangkan dia boleh copy paste hantar dekat facebook sendiri, cuma dia tak tahu cara. Jadi abah pilih cara manual.

Memang benda ni bukan hasil karya abah sepenuhnya. Tapi sebab gigihnya abah menyalin dari pagi hingga petang, jiwa seorang abah melekat dalam setiap ayat. Aku bukan anak kecil yang hati masih buta. Aku boleh baca, abah maksudkan semua tu.

Ahh sebak triple.

BAYANGKAN AKU YANG KENA TAIP!

macam deraan mental pun ada haha

Bergenang mata, berair hidung tapi nak cover macho punya pasal (sebab aku bukan dalam bilik) semua orang ada dekat ruang tamu. Aku tahan. Berlakon sikit toleh ke kanan. Nasib tisu dekat. Pastu lap mata. Pastu sambung menaip.


Wajib mainkan

Apa tahu tentang ayah?
Tahu lelah tentang ayah, 
Mungkin ibu lebih kerap menelefon untuk menanyakan keadaan setiap hari.
Tapi tahukah kita,Sebenarnya ayah lah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita.Ayah selalu tanya "telefon lah anak kita tu tanya dia macam mana kerja sekolahnya?"
Ketika umurnya masih kecil, ibu yang lebih mendukung kita.Tapi, tahukah kita bahawa sebaik saja ayah pulang bekerja dari wajahnya yang lelah ayahlah selalu menanyakan apa yang kita makan, lakukan seharian.

Saat kita sakit atau demam ayah sering membentak,
"kan ayah dah kata jangan main hujan.Kan ayah dah bagitau jangan minum air sejuk?!"Tapi tahukah kamu bahawa ayah sangat risau?
Kita remaja. Kita meminta izin keluar malam.Ayah larang tegas berkata tak boleh.Sedar tak bahawa ayah ingin menjaga kita. Kerana bagi ayah kita adalah sesuatu yang sangat berharga.

Syahmina tengok ni mesti menangis sebab dia tak wujud lagi

Saat kita mempercayai ayah pun melonggarkan peraturannya maka kita telah melanggar kepercayaannya. Maka ayah lah yang sentiasa menunggu kita di ruang tamu. Ayah marah kita. Tahukah kita bahawa ayah tak nak apa-apa terjadi kepada kita bila keluar malam.
Setelah kita dewasa ayah menghantar ke sekolah, ke kolej, alam universiti untuk belajar. Di saat kita memerlukan macam-macam untuk keperluan kuliah ayah hanya mengerutkan dahi tanpa menolak. Ayah mematuhinya.



Saat kita berjaya ayah lah orang yang berdiri dan bertepuk tangan untuk mu. Ayah akan tersenyum dengan bangganya, walaupun ayah buat-buat tak tahu, tapi tahukah kamu sebaik sahaja kamu pergi ayah menceritakan kat ibu.

Itu pengorbanan seorang ayah.Apakah kita masih belum sedar? 


2011 - Rembau


Kita memandang kemarahan ayah itu terhadap kita,alasan untuk kita membenci?  
Percayalah dia orang paling rindu kita kerinduan ayah terhadap kita mungkin melebihi kerinduan ibu dekat kita. 

Kita cium pipi ibu, ayah hanya tersenyum melihat. Tahukah kita, apa yang kita lakukan itu tidak adil terhadap ayah. Adakah ayah tak layak mendapat ciuman semua yang kita berikan pada ibu.Kamu lupa masa kecil ayah mendukung kita dan mencium kita?

(MENANGIS DENGAN LEBAT CAMNE NAK COVER)



SELAMAT HARI BAPA
Jangan sedih, menangis apa yang abah luahkan hanya perasaan hati ini.



abah, 1758hrs
15 Mei 2014.


Gila ke tak menangis. Lagi-lagi aku yang kena menaip. Aku sedih lah sebab aku tau abah maksudkan semua ni. Masa abah kasi buku tu pun, abah menangis sorok. Aku sebak. Susah macam mana pun waktu kecik mesti abah beli kek bila hari jadi. Mujur dah besar perangai tak macam tu lagi ahaksss lap air mata.



Sebab abah kerja dari pagi dan sampai rumah pukul 8 malam. Masa yang ada untuk anak-anak memang tak lama. Tapi masa yang sekejap tu lah abah manfaatkan untuk anak-anak. Aku ingat lagi abah ibu berjaga malam sebab nak balut buku teks anak-anak dia. Penat macam mana pun, abah tenang ajar anak buat kerja sekolah. Lewat mana pun abah akan bawak pergi playground naik motor. Main buaian, jongkang-jongket malam-malam. Macam cerita hantu pun ada. Tapi, aku ingat benda ni normal. Rupanya, mana ada orang pergi taman mainan malam-malam. Cis! Haha


Terlalu panjang kalau nak cerita kisah abah. Rajin abah ni sampai aku yang perempuan ni pun maluuuu! kalau nampak ada pinggan mangkuk dekat sinki aku terus basuh sebab aku tak nak abah basuh. Abah ni laju je, tak nak kasi chance kat anak dia buat kerja rumah.




Syurga di bawah telapak kaki ibu. Tapi jangan lupa pulak kaum abah ni yang tanggung dosa anak perempuan selagi belum berkahwin. Kekadang aku doa kahwin cepat sebab kesian abah penat tanggung dosa aku T^T Penat abah buat amal jariah lepas tu anak-anak senang je kasi abah dosa T^T menggeletar tangan menaip. Sebak ahh.


"Semoga menjadi anak yang memberi pahala bukan dosa pada mak bapak. Ingat tu Jan." - cakap depan cermin





No comments: